Oleh : Srinarawie Bidzah / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. - Pelaksanaan dasar kerajaan telah menghasilkan kemajuan signifikan ke arah pencapaian ketiga-tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035.
Bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) matlamat pertama Wawasan, iaitu Rakyat Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, berdasarkan kepada laporan Programme for International Student Assessment (PISA) 2022 oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), skor negara dalam PISA mencatatkan peningkatan pada tahun 2022 berbanding semasa penilaian PISA 2018, iaitu skor 442 bagi Matematik, peningkatan sebanyak 12 skor, skor 429 bagi bacaan, peningkatan sebanyak 21 skor, skor 446 bagi Sains, iaitu peningkatan sebanyak 15 skor.
Pencapaian ini menempatkan NBD dalam tiga teratas dalam kalangan negara-negara ASEAN yang bukan sahaja menunjukkan peningkatan keupayaan pelajar di negara ini dalam bidang asas seperti Matematik dan Sains, malah mencerminkan hasil usaha berterusan memperkukuh sistem pendidikan negara.
Perkara berkenaan dijelaskan dalam Usul Wawasan Brunei 2035 yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat bagi matlamat kedua, iaitu Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi, negara berada di kedudukan ke-60 daripada 193 buah negara, dan termasuk dalam kategori negara yang mempunyai 'very high human development' menurut laporan Human Development Index (HDI) yang dikeluarkan oleh United Nations Development Programme (UNDP) pada tahun 2025 yang merupakan satu pengiktirafan global terhadap usaha berterusan negara dalam memperkasa kesejahteraan rakyat.
Bagi matlamat ketiga tambah Yang Berhormat lagi, iaitu Ekonomi Yang Dinamik dan Berdaya Tahan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita mengekalkan negara ini di kedudukan ketujuh tertinggi daripada 194 buah negara berdasarkan Laporan World Economic Outlook yang dikeluarkan oleh International Monetary Fund (IMF) bagi April 2025.
Pencapaian ini kata Yang Berhormat mencerminkan keupayaan negara dalam mengekalkan kestabilan ekonomi meskipun berdepan cabaran global, hasil daripada dasar fiskal yang berhemat, pengurusan sumber asli yang mampan dan langkah strategik dalam mempelbagaikan ekonomi negara khususnya melalui sektor bukan minyak dan gas.
"Selain itu, usaha berterusan dalam menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) memperkukuh sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta memperkasa transformasi digital, turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh asas ekonomi negara.
“Bagi mendukung pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, kerajaan telah memperkenalkan tiga 'blueprint', iaitu Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint sebagai panduan strategik kebangsaan yang menyelaras hala tuju pembangunan negara.
"Ketiga-tiga 'blueprints' ini dirangka untuk memastikan perancangan dan pelaksanaan dasar secara menyeluruh dan bersepadu melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation demi memenuhi kepentingan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dan penduduk secara menyeluruh.
"Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, meningkatkan kualiti hidup ke arah sebuah negara yang kekal makmur, aman dan berdaya tahan untuk semua," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan dalam usaha memastikan pembangunan tenaga manusia kekal responsif dan berdaya saing, pelbagai inisiatif telah digerakkan ke arah mencapai Matlamat Pertama Wawasan Brunei 2035, iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Sejajar dengan matlamat ini kata Yang Berhormat, Manpower Blueprint yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah diterbitkan pada tahun 2024. Dokumen strategik ini memberi tumpuan kepada empat aspirasi utama yang dirangka bagi memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan dalam memastikan keselarasan berterusan antara pembangunan pendidikan dan keperluan industri demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan dan inklusif.
Aspirasi pertama kata Yang Berhormat, pendidikan dan latihan dinamik yang menekankan sistem pendidikan dan latihan negara yang pelbagai, inklusif dan adaptif bagi melahirkan rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan beretika; aspirasi kedua, rakyat siap siaga masa depan dengan menekankan pembentukan rakyat yang inovatif, produktif dan bertanggungjawab di samping menanai pembelajaran sepanjang hayat bagi melengkapi mereka dengan set minda, pertumbuhan dan kedayatahanan serta 'growth and resilience'.
Manakala aspirasi ketiga ujar Yang Berhormat, pembangunan modal insan yang efektif menumpukan kepada ekosistem pembangunan modal insan yang holistik dan koheren bagi menyediakan keperluan tenaga manusia negara ke arah tenaga kerja yang proaktif dan kompeten; sementara aspirasi keempat, pemudah cara sistem dukungan dan struktur yang merupakan elemen penting bagi kejayaan ketiga-tiga aspirasi terdahulu. Ini merangkumi infrastruktur kualiti tinggi dan tadbir urus yang berkesan melalui pendekatan Whole of Nation bagi mencapai aspirasi tenaga manusia, pembangunan modal insan bagi menggerak pembangunan sesebuah negara.